KHUTBAH JUMAAT:
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Beruntunglah Insan Yang Dagang: Demikianlah tajuk khutbah kita pada hari ini.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]
Di awal permulaan Islam, seruan baginda Nabi s.a.w menimbulkan rasa hairan di kalangan kaum musyrikin Mekah. Kehairanan itu sudah memadai untuk mereka menolak Islam ditolak. Nabi dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan dinggap sebagai se orang yang gila, dan seribu satu kecaman yang yang dilemparkan kepada baginda dan ini semua masih kekal di dalam lembaran Sirah.
Kenapa ini semua berlaku? Kenapa Nabi ditentang meskipun baginda terkenal sekian lama sebagai al ameen??
Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana apa yang di bawa oleh Nabi s.a.w adalah menongkah arus kebiasaan di zaman jahiliah.
Di zaman itu, manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia. Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan.
Rogol, bunuh dan penyiksaan sudah menjadi sebahagian hidup masyarakat jahiliah yang kini turut menular dalam masyarakat yang dikatakan moden ini.
Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan.
Arak yang membawa manusia hilang akan dan menukar manusia menjadi seperti binatang, sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.
Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan.
Walaupun perhambaan, rogol, pembunuhan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut.
Demikianlah nasib Islam di awal zamannya.
Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dan dihina. Tubuh baginda yang mulia dilempar dengan najis-najis yang hina, dibaling dengan batu-batu tajam yang menumpahkan darah. Hanya kerana Islam itu dilihat ganjil di awal kedatangannya.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Kejanggalan dan keganjilan itu pada hakikatnya tidak harus menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada kita. Lihatlah kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan juga para sahabat baginda r.a. Sedikit pon tidak pernah goyah. Perlahan-lahan, demi sedikit sinar perubahan mula memancarkan sinarnya. Sinar yang diterangi oleh cahaya yang berteraskan keimanan.
Ganjil dan asing bukan kerana mereka salah.
Mereka ganjil dan asing kerana mereka berbeza berbanding dengan kaum musyikin quraish yang ramai.
Umpama se orang yang berjalan betul di dalam kelompok mereka yang tempang. Yang tempang melihat yang berjalan betul itu adalah tempang, sedangkan pada hakikatnya mereka tidak menyedari bahawa mereka itulah sebenarnya yang tempang.
Firman Allah SWT:
“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi. tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” [Hud 11: 116]
Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.
Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti.
Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan.
Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.
Mereka inilah GHURABA!
Kerana itulah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”
[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]
Baginda ditanya, “siapakah orang-orang yang asing itu?”
Baginda menjawab, “iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”
[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]
Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”
Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pernahkah kita merasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam?
Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan dan pentadbiran, kita memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, dan disindir. Pernahkah kita merasa seperti itu?
Ketika kawan-kawan memilih untuk terus berniaga di gedung masing-masing, bekerja di pejabat, atau bertani di ladang, atau terus menangkap ikan di lautan, atau terus memukul bulu tangkis, atau berada di padang permainan contohnya biar pun azan maghrib sudah berkumandang, kita yang memilih untuk bersolat lalu kita ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah kita mengalami pengalaman seperti itu?
Semasa ramai orang berasa malu kerana diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, kita memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan dosa itu, pernahkah kita berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?
Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya,kitaa memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah kita merasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?
Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anak-anak kita, isteri-isteri kita yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota sebagai tanda melindungi dengan harga diri, pernahkah keluarga kita dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?
Jika kita pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, dipersenda, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Tooba lil Ghurabaa’!
Berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. [al-An’aam 6: 116]
Allah Subhanahu wa Ta’aala juga menyebut:
وما أكثر الناس ولو حرصت بمؤمنين
”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)” [Yusuf 12: 103]
Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi:
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [al-Maa’idah 5: 49]
Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan peringatan di dalam al-Quran:
“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” [Yusuf 12: 38]
Muslimin yang dirahmati Allah,
Bersabarlah jika kita dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada kita memilih untuk beramal dengan ajaran Islam di zaman yang penuh cabaran ini.
Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran.
Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.
Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut anutan agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini”
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ditanya tentang maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:
“ Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan” [al-Maa’idah 5: 105]
Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:
Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama”
Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?”
Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”
[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain]
Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam asing di zaman permulaannya dan Islam akan kembali asing di zaman kemudiannya.
Teruskanlah mujahadah anda untuk mengusahakan perubahan.
Nota: Khutbah ini telah disampaikan di Masjid Peramu, Kuantan Pahang pada 16 Mac 2012. Khutbah asal dipetik dari - http://saifulislam.com/?p=5928 - dengan sedikit editing. Jazahullah Khairal Jazaa'.
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia