Sunday, 25 March 2012

IKHLAS SENJATA LAWAN IBLIS DAN SYAITAN



Gambar Hiasan. Macam ni ke rupa anak syaitan?
Wallahu a'lam bissawab!



 Sebenarnya syaitan bukanlah sehebat mana pon. Tapi syaitan amat bijak mengatur strategi untuk sesatkan kita semua anak-anak Adam. Oleh kerana Allah cipta syaitan sebagai salah satu kaedah untuk menguji umat manusia, maka kita kena tahu apa senjata yang boleh lawan syaitan ni. Syaitan ni boleh dilumpuh dan dilemahkan kalau senjata yang digunakan itu tepat dan kena caranya.
Salah satu cara nak lawan syaitan ialah dengan mengikhlaskan diri di dalam beramal. Syaitan cukup kecewa bila kita buat sesuatu kerana Allah sebab segala usaha liciknya selama ini menjadi sia-sia. segala usaha yang dilakukan oleh syaitan supaya amalan kita ditolak gagal dan tidak Berjaya. Syaitan kecewa sebab kalau Allah terima amalan kita, maka tak ada lagilah geng untuk sama-sama duduk dalam neraka.

Bila bapak segala syaitan yang bernama  iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui dia tak akan dapat menyesatkan satu golongan. Dan
golongan tersebut adalah golongan mereka yang ikhlas. Cuba tengok ayat-ayat ni:

قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لأزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمْ الْمُخْلَصِينَ)

Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran)
(kepada Adam dan zuriatnya) di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”
Surah al-Hijr 15:39-40
Dalam ayat yang lain Allah berfirman menceritakan tentang sumpah  iblis laknatullah untuk menyesatkan anak-anak Adam:

فَبِعِزَّتِكَ لأغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

“Maka demi kemuliaanMu maka aku akan sesatkan semua anak Adam kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas”.
Surah Saad: ayat 82-83

Selanjutnya Allah menggambarkan pula permintaan iblis bagi menangguhkan kebinasaan dan kematiannya  dan  pengikut-pengikutnya:
  
َ أَنظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ. قَالَ إِنَّكَ مِنَ الْمُنظَرِينَ . قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ. قال
لآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ ثُمَّ

“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).” Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh hingga ke hari - masa yang termaklum.”. Lalu kata Iblis “Wahai Tuhan oleh kerana engkau telah sesatkan aku maka akan pesong semua anak Adam dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku akan mendatangani mereka dari hadapan, dari belakang, dari sebelah kanan dan kiri mereka dan engkau tidak akan dapati ramai dari mereka itu dari kalangan mereka yang bersyukur”
Surah Al A’raf: Ayat 14-17

  Kalau kita perhatikan ayat-ayat di atas, Iblis telah membongkar rahsianya yang amat penting. Dan inilah senjata yang paling berkesan bagi melawan makhluk yang bersifat ghaib ini. Ikhlas dalam melakukan segala amalan, melindungi kita dari putar belit syaitan. Orang yang buat amalan dengan ikhlas, maka Allah akan sayang  kepadanya.. Bila Allah sayang, maka Allah akan bantu kita lawan syaitan dan iblis laknatullah itu.

Cuma bila kita cerita pasal ikhlas, ramai juga yang masih tidak berapa jelas tentang apa maksud ikhlas itu. Ikhlas sebenarnya mudah sangat untuk kita faham. Kalau kita buat apa saja amalan asal saja amalan itu baik dan bukan maksiat dan kita buat untuk tujuan mendapat keredhaan Allah, maka itu sudah dikira ikhlas. Mudah kan?  

Contohnya kalau kita solat, kalau solat itu kerana nak dapatkan perhatian atau pujian atau lain-lain sebab maka itu sudah dikira tidak ikhlas. Maksudnya kalau kita nak ikhlas, maka kita kena bersihkan hati kita dan niat kita selain dari niat-niat kerana makhluk. Buat hanya kerana Allah dari awal solat sampai Akhir. Jangan pula masa awal-awal nak solat, niat ikhlas bukan main. Tapi tiba-tiba masa solat bertukar pulak niat kita hanya kerana kebetulan bapak mertua solat sebelah kita.

Kalau kita di pejabat pula contohnya, kalau kita solat sebab boss wajibkan kita solat maka itu sudah tidak ikhlas. Tapi ini masih boleh diselamatkan dengan syarat sebelum solat kita tawajjuh dan hadapkan hati dan jiwa kita hanya kerana Allah. Dalam keadaan ini kita masih dikira sebagai ikhlas walaupun pada awal kedatangan kita untuk solat tadi hanya kerana disebabkan oleh arahan dari boss.

Ikhlas dalam ibadat mungkin agak mudah untuk kita faham. Tapi sebenarnya ikhlas bukan sahaja dalam urusan yang berkaitan dengan ibadat. Bahkan ikhlas perlu dalam semua urusan amalan kehidupan kita samada kecil atau besar. Kalau kita makan, kita makan kerana Allah. Ertinya kita makan kerana dengan makan itu  kita akan beroleh tenaga dan tenaga itu untuk kita buat amal ibadat serta amalan harian kita dengan baik.

 Kalau kita kerja, kerja kita juga kerana Allah. Kerja yang kita buat, tak kisahlah apa jenis kerja yang kita buat asalkan kerja kita itu kerja yang halal, maka kerja juga kerana Allah. Kita kerja kerana mencari nafkah untuk diri, anak-anak , ibu bapa dan sebagainya maka kita juga perlu ikhlas. Maksudnya kita kerja dan bila dapat gaji dan upah kita pula belanjakan hasil keringat kita itu hanya kerana mencari keredhaan Allah.

Zaman sekarang ni, payah sangat nak cari ikhlas. Hatta orang yang ada didikan ugama juga kadang-kadang payah nak dapat ikhlas. Bila ada ilmu, maka orang akan ajak berceramah. Lepas ceramah dihulur sampul surat. Sampul surat bukan kosong. Mungkin RM50 atau RM100 atau mungkin juga RM1,000 atau lebih. Jumlah yang ada dalam sampul, bergantung kepada siapa penceramah itu. Kalau penceramah amatur dan kampungan, RM50 tu dah kira besar. Tapi kalau penceramah pro pula RM100 tak mainlah. Sebelum datang dah tetapkan  harga siap-siap. Tak cecah RM1,000 minimum, jangan harap Ustaz dan ustazah pro ni nak terima. Maka kempunanlah orang-orang kampung nak dengar ceramah dari Ustaz dan ustazah pro yang berstatus selebriti ini. Ikhlas ker ni?

Maksudnya, ilmu ugama saja tak cukup untuk lawan syaitan kalau tak ada ikhlas. Jadi ikhlas senjata untuk semua. Tak kira apa status atau kedudukannya.

Sebab tu lah kita kena renung-renung balik tujuan kita buat satu-satu amalan. Nak kena baik pulih nawaitu kita. Rugilah kalau amalan yang kita buat langsung tak ada nilai di sisi Allah. Di dunia kita syok sendiri. Terasa bangga dengan amalan-amalan yang nampak hebat pada pandangan mata, tapi langsung tak ada nilai di sisi Allah kerana amalan-amalan itu semua dibuat kerana nak tarik perhatian dan pujian manusia.

 Kita kena ingat. Jangan sekali-kali lupa bahawa Iblis laknatullah telah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan seluruh anak Adam dibantu oleh bala tenteranya. Iblis amat marah bahkan penuh dendam kesumat kepada anak-anak Adam  kerana dia  dihalau dan dihina dan diharamkan dari terus tinggal dalam  Syurga oleh Allah kerana keingkaranya untuk tunduk kepada perintah Allah. Bila Allah memerintahkan para malaikat untuk sujud kepada Nabi Adam a.s sebaik Allah mencipta Nabi Adam, maka semua malaikat sujud dan patuh kepada perintah Allah tanpa melihat hakikat kejadian Adam a.s.  Bagi para malaikat, apa yang penting, asal saja ianya perintah dan arahan dari Allah, pastinya mereka akan tunduk dan patuh tanpa sedikit pun membantah. Lain ceritanya dengan Iblis laknatullah ini. Dia merasa dirinya hebat dan bagus. Lalu dipersoalkan arahan Allah. “Kenapa aku harus sujud kepada Adam yang kamu jadikan dari tanah, sedangkan engkau jadikan aku dari api”. Demikian betapa angkuhnya Iblis membentak dan mempersoalkan arahan Allah. Sedangkan dia mengakui bahawa dia sendiri adalah makhluk ciptaan Allah.

Akhirnya kesombongan dan kebodohan iblis membawa bala bencana kepada dirinya sendiri. Iblis diperintah Allah berambus dari syurga. Kerana syurga hanya untuk mereka yang taat. Dek kemarahan yang meluap-meluap Iblis berjanji akan menyesatkan seluruh anak Adam. Allah menerima permintaan iblis yang terakhir dan menjadikan iblis sebagai satu cobaan kepada umat Nabi Adam a.s  dan sebagai satu  bentuk saringan dan tapisan untuk melihat siapakah di kalangan anak Adam yang beriman dan siapakah di antara mereka yang kufur.

Beruntunglah sayu golongan manusia iaitu mereka yang ikhlas kerana golongan ini dikecualikan Allah dari disesatkan oleh iblis dan syaitan. Mereka yang ikhlas dilindungi sepenuhnya oleh Allah dari godaan Iblis. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Al Quran:
“Aku akan sesatkan mereka semua (anak Adam) kecuali hamba-hambamu yang ikhlas”

Justeru, menjadi hamba Allah yang ikhlas adalah satu benteng  dan senjata paling kukuh dan  paling hebat bagi menentang syaitan. Milikilah sifat ikhlas ini dan garaplah ia agar terus  sebati dalam diri apabila melakukan sebarang amalan. Pastinya Iblis serta sekutunya akan kecewa selamanya!

Ikhlas dari sahabatmu
Ust. Dr Nik Rahim Nik Wajis
25 Mac 2012 - Brunei Darussalam

No comments:

Post a Comment