Assalamu 'alaikum dan salam ukhuwah untuk semua sahabat yang dikasihi sekelian..
Apabila kita melakukan sesuatu amalan kerana matlamat tertentu selain dari mencari redha Allah, maka amalan tersebut akan menjadi hijab dan penghalang untuk kita hampir kepada Allah. Kita perlu sedar bahawa amalan yang kita harapkan diterima Allah bukan sahaja tidak diterima, bahkan akan menjadi dosa dan maksiat jika dilakukan kerana tujuan yang lain selain dari Allah. Bila amalan sudah jadi maksiat maka sudah tentu ianya menjadi hijab antara kita dengan Allah. Kita buat ibadat serta melakukan berbagai-amalan amalan kebajikan dengan menyangka bahawa amalan-amalan tersebut boleh bawa kita ke syurga. Namun malang, sangkaan kita jauh meleset. Bukan syurga yang akan jadi destinasi kita bahkan ke neraka pula tempat kita diheret dan disiksa. Wal ‘Iyazubillah.
Justeru kita perlu taubat dan memohon ampun kepada Allah. Pohon belas kasihan Allah di atas ketelanjuran kita. Kita leka dalam melakukan amalan dan terikut-ikut godaan syaitan yang sentiasa memperlihatkan keindahan amalan kita meskipun pada hakikatnya amalan tersebut umpama sampah sarap di mata Allah Yang Maha Esa. Kita harus perhalusi jiwa dan hati kita. Kita mesti meminta pertolongan dengan Allah. Merayu kepada Allah agar segala amalan yang kita lakukan selama ini diterima oleh Allah. Meskipun pada hakikatnya segala amalan tersebut telah hangus dan hancur kerana hilangnya keikhlasan dari jiwa kita. Namun Allah itu Maha Penyayang. Pohonlah belas kasihan Allah. Rayulah padaNya agar apa yang berlaku sebelum ini diberi pelepasan oleh Allah. Yakinilah bahawa Allah pasti akan menerima rayuan dan penyesalan kita. Binalah jiwa dan hati yang baru dan bersih serta suci dari niat-niat yang lain selain dari Allah. Tawajjuh dan hadapkan segalanya kepada Allah seluruh amalan kita sepertimana yang dinukilkan dari Al Quran:
“Sesungguhnya Solatku, dan ibadatku, kehidupanku dan matiku hanya kepada Allah pemilik sekian Alam. Tidak ada sekutu baginya, demikianlah aku diperintahkan dan aku adalah orang yang pertama memeluk Islam”
Apabila keikhlasan mula menyelinap masuk dan subur dalam hati sanubari kita, rasailah kehebatan menjadi hamba Allah yang terpilih. Kerana sesungguhnya hanya mereka yang dikasihi Allah dari kalangan hambaNya akan dianugerahkan nikmat keikhlasan. Rasailah betapa hebatnya perasaan apabila kita sujud kepadaNya. Terasa bahawa Dia telalu hampir dengan kita. Terasa sayu dan syahdu perasaan kita. Inilah nikmat yang amat luar biasa yang diberikan kepada hambaNya yang ikhlas. Ini adalah petanda bahawa hijab antara kita dengan yang Maha Pencipta telah terlerai dan tiada yang dapat menghalang kita dari menjadi hamba-hambaNya yang soleh dari kalangan al Muqarrabeen iaiatu mereka yang hampir dengan Allah Subhananhu Wataala.
Wallahu a'lam bissawab.
Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia
No comments:
Post a Comment