Tuesday, 19 July 2011

Jihad VS Keganasan

DALAM kegembiraan merasai kerusi empuk di 10 Downing Street, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, yang baru memegang jawatan itu tiba-tiba diselubungi kegelisahan apabila dikejutkan dengan aktiviti keganasan di Glasgow dan London, baru-baru ini.

Apa tidaknya, keganasan tidak mengenal mangsa, baik muda mahupun tua. Malah anak kecil yang belum mengerti apa-apa juga tidak terlepas daripadanya.

Di mana-mana ia boleh berlaku, sama ada di ruang terhad berhawa dingin lengkap dengan set sofa eksklusif atau kawasan terbuka yang sibuk dengan orang ramai, membuatkan semua orang dibayangi ketakutan.

Keganasan, merujuk kepada satu situasi atau kejadian menakut dan mencemaskan, ungkapan yang sangat popular sejak kebelakangan ini, malah di Barat ia rancak diperkatakan, daripada rakyat biasa hinggalah pemimpin atasan.

Dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘irhab’ yang berasal daripada perkataan ‘rahiba’ bermaksud ketakutan, namun perkataan ‘irhab’ tidak digunakan bagi menggambarkan sifat atau perkara yang berkaitan dengan keganasan.

Perkataan Inggeris ialah “terrorism” yang berasal daripada perkataan “terror”, bermakna “menakutkan” atau “mengerikan”.

Sarjana memberikan pelbagai pengertian terhadap keganasan, tetapi ia tidak lari daripada beberapa elemen penting, membabitkan penggunaan keganasan atau kekerasan, sama ada menggunakan bahan letupan atau bahan kimia, penculikan dan rampasan.

Keganasan juga dihubungkan dengan aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan serta mempunyai motif politik, iaitu menyampaikan mesej untuk menjatuhkan satu-satu pemerintahan atau negara yang dibentuk dengan mandat sah.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, kejatuhan Empayar Uthmaniah dan berakhirnya Perang Dunia Pertama boleh dikira sebagai titik permulaan ke arah era keganasan.

“Penaklukan negara di Timur Tengah oleh penjajah British dan Perancis serta memecahkan negara terbabit adalah antara faktor berlakunya keganasan,” kata Dr Nik Rahim Nik Wajis dari Jabatan Syariah, Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam, dalam kertas kerjanya bertajuk “Jihad vs Keganasan: Dari Perspektif Islam”.

Beliau berkata, dari perspektif Islam, keganasan satu tindakan yang dilarang dalam berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran dan hadis.

“Ini kerana pembunuhan orang yang tidak berdosa diharamkan di dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, keganasan tidak direstui oleh syarak kerana matlamat kumpulan pengganas semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan yang sah atau menimbulkan kekecohan serta kekacauan di dalam negara terbabit melalui cara yang tidak diiktiraf oleh undang-undang sama ada undang-undang syarak atau sivil.

“Apabila matlamat salah, dengan sendirinya tindakan mereka melakukan keganasan dan pembunuhan serta kekacauan akan juga dikira salah.

“Lantaran itu, mana-mana kumpulan pengganas yang melakukan tindakan keganasan sama ada membabitkan pembunuhan atau kemusnahan harta benda awam serta kerajaan wajar dikenakan hukuman berat setimpal dengan tindakan ganas mereka,” katanya.

Biarpun jelas aktiviti keganasan tidak dianjurkan Islam, realitinya hari ini setiap kali berlaku kes terbabit masyarakat bukan Islam seperti di Barat segera melemparkan tohmahan kepada golongan Islam, biarpun bukti untuk mengaitkannya sangat tipis.

Tindakan memburukkan imej Islam dan anti Muslim oleh Barat bukan saja melebarkan lagi jurang perkauman, malah ditambah dengan perasaan buruk dan curiga mereka, layanan yang diterima masyarakat Islam semakin mendukacitakan.

Islam sebagai agama yang menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat tidak pernah menganjurkan umatnya melakukan keganasan tidak tentu arah, sebaliknya mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang terbabit dengan tindakan keras itu.

Konsep jihad yang dianggap masyarakat Barat sebagai perang suci dan dipuji dalam Islam juga berbeza dengan keganasan dan tindakan melampau, yang membawa kepada kemusnahan dan ketakutan umum.

Jihad bertujuan mempertahankan diri, menghapuskan kezaliman dan penindasan, dengan matlamat mengakhiri peperangan dan mewujudkan perdamaian.

Malah, jihad yang secara umumnya fardu kifayah mempunyai syarat tertentu perlu dipatuhi seperti larangan membunuh kanak-kanak, wanita serta orang tua yang tidak terbabit dalam memerangi umat Islam.

Imam Malik ada meriwayatkan, Nabi Muhammad s.a.w melarang tentera Islam yang memerangi Ibn Abi Huqaya (pembelot dari kaum Yahudi Madinah) daripada membunuh wanita dan kanak-kanak.

Dalam satu peristiwa jihad menentang kaum musyrikin, diriwayatkan Nabi s.a.w melihat mayat seorang wanita yang dibunuh dalam satu serangan dan Nabi amat murka dengan kejadian itu dan baginda melarang membunuh wanita dan kanak-kanak.

Dr Nik Rahim berkata, peraturan jihad juga boleh dilihat dalam amanat yang dibuat Abu Bakar r.a. kepada komander angkatan jihad Islam ke Sham:

“Jangan kamu membunuh wanita, kanak-kanak atau orang cacat. Jangan kamu memotong pokok yang berbuah, jangan menyembelih biri-biri atau unta kecuali hanya untuk makan. Jangan kamu membakar sarang lebah dan jangan rosakkan sarang mereka. Jangan mencuri harta rampasan, dan jangan jadi orang pengecut.”

Amanat itu bertepatan dengan yang digariskan oleh al-Quran, bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh seseorang yang diharamkan Allah kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Tetapi janganlah ia melampaui batas kerana sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat sepenuh-penuh pertolongan.” (Al-Israa:33)

Berdasarkan panduan ini dapatlah difahami darah mereka yang tidak mengambil bahagian di dalam peperangan menentang Islam tidak boleh ditumpahkan walaupun di dalam medan perang.

No comments:

Post a Comment