Tuesday, 19 July 2011

Pendatang tanpa izin: Wajarkah hukuman rotan?

CADANGAN pihak polis untuk mengenakan rotan kepada pendatang tanpa izin baru-baru ini mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai. Kebanjiran pendatang sukar dikawal dan jika dibiar berterusan dan tanpa sebarang usaha serius ke arah menyelesaikannya, akan merumitkan lagi keadaan. Malah, akan mendatangkan implikasi buruk terhadap ekonomi, sosial serta keselamatan negara. Di dalam kemelut ekonomi negara yang masih belum menunjukkan tanda pemulihan sebenar, negara dibebankan pula oleh kedatangan pendatang yang nampaknya semakin bertambah. Negara kita memerlukan pekerja-pekerja luar khususnya apabila rakyat kita memilih pekerjaan. Mahu tidak mahu kita terpaksa mengimport pekerja luar untuk menangani masalah kekurangan tenaga pekerja khususnya di dalam sektor pembinaan, perkilangan dan perladangan. Mereka yang datang secara sah sememangnya dialu-alukan bahkan negara melindungi hak mereka sebagai pekerja, meskipun mereka rakyat asing. Namun masalah yang sedang dan terus kita harungi sekarang adalah mereka yang datang tanpa dokumen sah. Kerajaan perlu bertindak segera menyelesaikan masalah pendatang sebelum keadaan menjadi lebih parah. Undang-undang baru perlu digubal bagi menangani masalah ini. Meletakkan pendatang di kem-kem tahanan dan menghantar mereka pulang, setakat ini belum jelas sebagai jalan penyelesaian yang efektif. Mereka yang dihantar pulang mungkin akan kembali. Namun persoalannya wajarkah mereka ini dikenakan hukuman rotan?Jika diteliti di dalam undang-undang negara yang ada, hukuman rotan sebenarnya telah lama diguna pakai di negara ini. Di antara kesalahan-kesalahan yang dikenakan hukuman rotan ialah rogol (Kanun Kesekasaan, Seksyen 376), menculik (Kanun Keseksaan, Seksyen 364) dan rompakan bersenjata (Kanun Kesekaan, Seksyen 392). Jika dilihat kepada kesalahan-kesalahan di atas, tidak syak lagi bahawa mereka yang melakukan jenayah wajar dikenakan hukuman rotan memandangkan kesan jenayah-jenayah tersebut kepada mangsa serta masyarakat sekeliling.Namun bagi pendatang, kesan kesalahan mereka tidak menyamai kesan jenayah-jenayah tersebut di atas. Meskipun memasuki negara tanpa permit sah adalah satu kesalahan, namun menjatuhkan hukuman rotan mungkin tidak setimpal dengan kesalahan mereka. Seperti yang kita maklum, negara jiran kita khususnya Indonesia dilanda kemelesetan ekonomi yang begitu meruncing. Tahap pengangguran yang begitu tinggi menyukarkan mereka mencari pekerjaan untuk menyara keluarga.Namun ini tidak bermakna mereka akan dilepaskan tanpa hukuman. Hukuman seperti denda dan seterusnya menghantar mereka pulang dengan belanja mereka sendiri dikira sesuai dan ini boleh dikira sebagai satu hukuman.Di dalam menangani masalah ini, kita perlu memberi penumpuan kepada faktor yang mendorong kepada kebajikan para pendatang ini. Di dalam masalah ini, tekong darat dan para majikan bertanggungjawab membawa masuk serta melindungi pendatang. Mereka inilah dalang yang hanya mementing keuntungan tanpa mengira risiko yang bakal dihadapi oleh pendatang dan juga negara keseluruhannya. Mereka inilah yang perlu dikenakan hukuman rotan kerana di dalam banyak hal mereka ini menjadi punca.Khalifah Umar Al-Khattab pernah menjatuhkan hukuman ke atas seorang majikan yang membayar gaji yang sangat murah kepada pekerjanya dan ini menyebabkan pekerja tersebut mencuri. Majikan tersebut dikenakan hukuman kerana menjadi penyebab kepada kesalahan yang dilakukan. Berdasarkan kepada kisah ini, wajarlah kiranya tekong darat yang membawa masuk pendatang, serta majikan yang melindungi mereka dikenakan hukuman yang lebih berat kerana tanpa mereka kebanjiran para pendatang tanpa izin mungkin tidak menjadi seburuk ini. Hukuman ini dikira penghalang bagi mereka yang terlibat agar mereka berfikir seribu kali sebelum melakukan kesalahan yang sama.Jika dilihat kepada undang-undang Islam pula, kita dapati bahawa Islam meletakkan beberapa jenis hukuman bagi sesuatu kesalahan. Ada yang dikategorikan sebagai hukuman tetap iaitu hukuman hudud dan qisas (balas bunuh) dan ada juga hukuman yang tidak tetap dan ini dikategorikan hukuman ta’zir. Kebanyakan hukuman adalah terdiri daripada kategori ini. Di dalam kategori ta’zir, para hakim diberi kebebasan untuk melaksanakan hukuman berdasarkan kepada keperluan semasa. Apa-apa sahaja bentuk hukuman yang dikira sesuai boleh dilaksanakan bagi menghukum penjenayah. Di dalam hal ini, tekong dan mereka yang melindungi pendatang dikira sebagai penjenayah dan mereka harus dihukum. Jika hukuman-hukuman yang selama ini dikenakan kepada mereka tidak membawa natijah yang diharapkan, maka hukuman rotan seharusnya dilaksanakan ke atas mereka dengan harapan mereka tidak mengulangi perbuatan yang sama.

* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.

Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 18/03/1998

Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment