Thursday, 21 July 2011

Siri Persediaan Puasa Ramadhan: Puasa dan Pantang Larangnya

Salam sahabat yang dikasihi sekelian. Moga dirahmati Allah hendaknya. Tak lama lagi kita semua akan berpuasa. So, sebelum puasa jom kita sama-sama belajar serba sedikit tentang pantang larang masa berpuasa supaya nanti kita dapat memaksimumkan apa yang ditawarkan oleh Allah kepada kita di dalam bulan Ramadhan Al Mubarak nanti insya Allah.

Terdapat dua jenis pantang larang dalam ibadat puasa:-

1) Pantang larang dari sudut fizikal seperti menahan diri dari makan, minum dan melakukan hubungan jenis di siang hari di bulan Ramadhan.

2) Pantang larang dari sudut Spiritual (Rohani) iaitu menahan diri dari perbuatan keji dan munkar seperti bergaduh, melihat perempuan ajnabi serta menjaga mulut dari bercakap perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti mengumpat,mengeji, merendahkan martabat dan menjatuhkan maruah orang lain dan lain-lain lagi.

Diriwayatkan Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”

Begitu juga dalam menjaga lidah dari menyebut perkara-perkara yang lagha atau yang melalaikan bahkan memperbanyakkan zikir dengan memuji Allah, bersalawat ke atas Nabi s.a.w, bercerita tentan nikmat-nikmat syurga serta lain-lain perkara ma'ruf. Mungkin ramai di kalangan sahabat yang suka menyanyi bagi menghiburkan hati. Itu semua adalah harus hukumnya asal saja nyanyian itu tidak melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang bukan muhram, serta jauh dari perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Hukum nyanyian secara umumnya sama dengan percakapan, apa yang dibenarkan dalam percakapan itulah yang dibenarkan dalam nyanyian.
Selain dari itu terdapat juga lain-lain pantang larang yang wajib dijaga ketika kita menjalani ibadat puasa. Antaranya ialah

1) Menjaga mata dari melihat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah.

2) Menjaga telinga dari mendengar benda yang dilarang seperti umpatan,kata-kata yang keji, kata yang boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah dan lain-lain.

3) Menjaga anggota- anggota lain dari sebarang perkara mungkar, seperti pergi ke tempat maksiat Ulama feqah mengatakan sah puasa jika jaga disiplin “fizikal” sahaja, tapi tiada pahala. Lagipun Nabi menyuruh kita agar menjaga kedua-dua disiplin fizikal dan spiritual puasa.

Puasa yang rugi

Ramai orang puasa tapi tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi untuk melemahkan nafsu yang buruk. Oleh itu hendaklah mengawal diri dari melakukan perkara yang keji semasa berpuasa.

Perjuangan

Oleh itu berjuanglah untuk menjagalah semua disiplin-disiplin dibulan Ramadahan, selain dari makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain dari perkara yang sia-sia agar kita mendapat rahmat (10 Ramadhan pertama), keampunan (10 Ramadhan kedua) dan kemerdekaan dari azab neraka(10 Ramadhan terakhir)

Salam Ukhuwah dari saya. Dr Nik Rahim Nik Wajis +6013 6410135 Kuantan, Pahang, Malaysia

No comments:

Post a Comment