CADANGAN kabinet untuk mengkaji semula hukuman terhadap pemandu yang cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut termasuk cadangan mengenakan hukuman penjara mandatori sepatutnya diberi sokongan padu oleh semua golongan masyarakat. Ini kerana segala usaha pihak kerajaan, swasta dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) selama ini termasuk kempen keselamatan dengan berbagai-bagai tema dan logo tidak banyak memberikan pengajaran kepada pengguna jalan raya. Ini terbukti apabila lebih 300 orang terkorban di jalan raya semasa perayaan berkembar baru-baru ini.Ini menggambarkan bahawa perkara ini adalah masalah yang amat serius yang bukan hanya berbentuk individu tetapi adalah masalah nasional.Kemalangan jalan raya mengikut kajian lebih banyak berpunca daripada sikap manusia. Kebiasaannya pemandu khususnya yang memandu kenderaan berat seperti lori, bas ekspres dan sebagainya, merasa yakin dengan keselamatan mereka. Dengan saiz yang besar kadangkala mereka merasakan akan terselamat jika berlaku kemalangan.Sikap seperti ini menjadikan pemandu tersebut tidak menghiraukan keselamatan orang lain. Selain itu jika berlakunya kemalangan mereka tidak begitu risau kerana ganti rugi akan dibayar oleh pihak syarikat. Lantaran itu hukuman yang lebih berat perlu dikenakan bagi mengajar pemandu agar lebih berhati-hati semasa memandu.Di dalam mencari penyelesaian bagi masalah keselamatan jalan raya, kita tidak seharusnya bergantung kepada satu kaedah tertentu sahaja. Jika kempen yang dilakukan tidak dapat memberi kesan serta kesedaran kepada pengguna jalan raya, maka cara lain harus dilakukan dengan harapan ia akan dapat melahirkan natijah yang diharapkan.Ternyata undang-undang dan peraturan yang ada tidak memadai untuk menjadikan para pemandu benar-benar menjadi seorang yang bertanggungjawab semasa berada di jalan raya. Berdasarkan kepada Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, mereka yang didapati bersalah kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian hanya boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.Persoalan pokok yang perlu diberi perhatian di sini ialah kesan kecuaian pemandu kepada mangsa dan keluarga mereka. Apakah memadai seorang pesalah yang memandu secara cuai dan menyebabkan kematian hanya dikenakan hukuman penjara selama lima tahun dan didenda sebanyak RM10,000 sedangkan si mangsa serta ahli keluarga terpaksa menanggung derita sepanjang hayat? Di manakah keadilannya? Siapakah yang perlu diberi simpati? Pesalah atau mangsanya? Di dalam syariat Islam semua perbuatan yang dilakukan sekiranya boleh menyebabkan kematian si mangsa, perbuatan ini dikira sebagai jenayah. Cuma hukumannya berbeza mengikutqasd al-jina’e atau niatnya. Jika seseorang itu berniat untuk membunuh maka hukumannya ada qisas iaitu balas bunuh. Namun jika pembunuhan itu berlaku dengan tidak sengaja atau qatl al-khata ia tetap dikira sebagai jenayah namun kesalahan tersebut tidak akan membawa kepada hukuman qisas atau balas bunuh. Menurut hukum Islam, mereka yang membunuh secara tidak sengaja boleh dikenakan hukuman diyat iaitu ganti rugi yang berupa seratus ekor unta atau lembu jika di negara kita Malaysia. Jika seekor unta atau lembu bernilai RM3,000. Ini bererti keluarga yang menyebabkan kematian akan terpaksa membayar kira-kira RM300,000 kepada keluarga si mangsa. Al-Syahid Syed Quth di dalam kitab tafsirnya Fi Zilal al-Quran menyebutkan bahawa ”di antara hikmat pembayaran diyat ialah untuk menghilangkan perasaan dendam di dalam diri keluarga si mangsa serta menggantikan sedikit sebanyak kehilangan serta penderitaan yang ditanggung oleh keluarga si mangsa tersebut.” Meskipun jumlah ini tidak dapat mengubati penderitaan ahli keluarga si mati namun wang itu boleh digunakan menampung keperluan keluarga tersebut termasuk makan minum, pakaian, persekolahan anak-anak dan sebagainya.Selain daripada itu, hukuman seumpama ini juga akan memberikan suatu pengajaran kepada mereka yang terbabit kerana jumlah wang sebegitu besar terpaksa dikeluarkan.Sebagai kesimpulannya bolehlah dikatakan bahawa undang-undang yang ada sudah tidak sesuai dan perlu dikaji semula dan satu undang-undang dan hukuman denda yang lebih berat perlu dikenakan. Ini termasuk mengenakan hukuman rotan atau penjara mandatori dengan tempoh yang lebih lama kerana jenis-jenis hukuman tersebut boleh dikategorikan sebagai hukuman ta’zir menurut pandangan Islam yang mana hukuman ini boleh dikenakan oleh pemerintah sekiranya didapati sesuai dan boleh mencapai matlamat ke arah penyelesaian masalah yang sekian lama berlarutan
* Dr. Nik Rahim Nik Wajis ialah Bekas Penolong Profesor, Kulliyah Undang-undang UIA dan bekas Kolumnis Utusan Malaysia di dalam Ruangan Bicara Syariah.
Artikel ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 04/03/1998
Dr Nik Rahim Nik Wajis kini adalalah Pengarah Urusan, Syihab Excellence Agency Sdn Bhd (Perunding Kewangan & Perundangan Islam). Sila layari: www.syihab.com untuk maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment